Friday, March 26, 2021

Menterjemah bentuk dan proses pendidikan bagi merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Muhammad Zuhair bin Azmi (D20202096848)

FALSAFAH PENDIDIKAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN

"Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

 

BENTUK PENDIDIKAN 


Konsep pendidikan berterusan atau dikenali sebagai pendidikan sepanjang hayat menekankan kepada proses pembelajaran secara berterusan yang mana seseorang itu mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui pengintergrasian tiga komponen pendidikan iaitu pendidikan formal,pendidikan informal dan pendidikan non-formal  yang mana proses ini boleh berulang di sepanjang hayatnya bermula sejak dalam kandungan hingga ke akhir hayatnya. Pendidikan sepanjang hayat atau lifelong learning ialah satu konsep yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan berterusan ialah pembangunan potensi manusia melalui proses pembelajaran berterusan yang memotivasikan dan mengupayakan individu menguasai ilmu, menghayati nilai murni, budaya dan kepercayaan yang diperlukan sepanjang hayat untuk meluaskan pengalaman hidupnya. Pendidikan berterusan ini ialah asas penting dalam membina masyarakat dan negara yang bertamadun tinggi dan maju. Pendidikan berterusan ini mempunyai tiga peringkat yang akan dilalui oleh setiap individu iaitu peringkat awal, peringkat sekolah dan peringkat selepas sekolah.

            Pada peringkat yang pertama iaitu peringkat awal, ia adalah dimana seseorang itu masih dilingkungan umur satu hingga lima tahun. Mereka menerima pendidikan secara informal yang banyak memberi penekanan kepada aspek-aspek seperti pertuturan, bimbingan agama, adab tatasusila, penjagaan kesihatan dan kebersihan serta perhubungan fizikal. Kebiasaannya pendidikan informal ini diperoleh daripada ibu bapa, ahli keluarga dan pengasuh yang menjaganya. Bermula daripada seseorang kanak-kanak itu lahir, mereka diajar untu makan, minum, bertutur,mengenali anggota keluarga, mengenali anggota badan dan sebagainya sehingga mereka boleh menguruskan diri. Menjadi pernanan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain untuk memberikan pendidikan seperti adad-adab yang merangkumi adab bertutur, adab makan, adab dengan orang yang lebih tua, membersihkan diri serta tingkah laku yang boleh dilakukan dan tingkah laku yang tidak boleh dan sebagainya. Apabila umur kanak-kanak tersebut sudah mendekati umur yang akan melayakkan mereka mendapatkan pendidikan formal di sekolah, ibu bapa serta ahli keluarga kebiasaannya akan mengajar mereka untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain dengan adab-adab yang telah dipraktikkan dirumah selama ini. Kanak-kanak belajar semua perkara ini daripada semasa ke semasa dan membina kemahiran dalam kehidupannya dalam jangka masa yang berterusan. Pendidikan informal ini tidak ada guru khas yang mengajar mereka sebaliknya bergantung kepada ahli keluarga dan ibu bapa kanak-kanak tersebut dan ianya juga berlaku di rumah serta dalam keadaan sekeliling yang tidak mempunyai institusi rasmi.

            Seterusnya, apabila kanak-kanak tersebut sudah mencapai umur lima hingga enam tahun mereka sudah layak untuk mendapatkan pendidikan di tadika atau prasekolah sehingga ke peringkat lebih tinggi apabila usia mereka meningkat. Pendidikan ini dinamakan pendidikan formal yang melibatkan empat peringkat persekolahan iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi. Pendidikan formal boleh ditakrifkan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan secara rasmi mengikut sistem yang ditetapkan oleh kerajaan. Proses ini berlaku di dalam sesuatu Institusi yang mempunyai struktur dari segi kronologi dan hierarki yang bermula daripada prasekolah hingga ke peringkat pendidikan tinggi serta mempunyai kurikulum rasmi. Seseorang kanak-kanak itu akan memulakan pendidikan awalnya di prasekolah dan sekolah rendah yang dinamakan pendidikan rendah bermula daripada umur enam tahun hingga dua belas tahun. Kemudian mereka akan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah selama lima tahun bermula daripada umur tiga belas tahun hingga tujuh belas tahun. Pada peringkat persekolahan, setiap individu itu akan diberikan pengajaran yang berterusan dan penekanannya adalah terhadap aspek pembentukan jati diri, perkembangan nilai dan potensi, perkembangan sosial, penghayatan agama dan nilai murni, penyesuaian hidup, pemupukan perpaduan dan nasionalisme, perolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta pemilihan kerjaya. Kemudian setelah tamat pengajian di pendidikan menengah, individu yang ingin melanjutkan pengajian ke pendidikan tinggi akan terus mendapat pendidikan formal. Proses pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi adalah lebih kepada pengkhususan bidang masing-masing yang tertumpu kearah profesion dan kerjaya yang berlainan. Bagi individu yang tidak melanjutkan pelajaran ke pendidikan tinggi, proses pendidikan tetap berterusan dan terus berlaku semasa di tempat kerja ataupun di dalam komuniti. Pendidikan kendiri juga berlaku dari semasa ke semasa melalui kehidupan seharian seseorang dan turut dipengaruhi media massa ataupun internet. Pada peringkat lepas sekolah ini pendidikan lebih tertumpu kepada penyesuaian kehidupan, perkembangan potensi, penghayatan agama dan nilai murni serta peningkatan perolehan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

            Pendidikan nonformal pula ialah pendidikan yang disusun dan dilaksanakan di luar daripada sistem pendidikan formal. Pendidikan ini boleh diperoleh melalui program seperti latihan, kursus dalam perkhidmatan, seminar, bengkel, persidangan, forum dan sebagainya. Pendidikan non-formal ialah semua jenis aktiviti pendidikan yang tersusun secara sistematik yang dijalankan di luar sistem pendidikan formal yang bertujuan memberi pembelajaran yang terpilih untuk sesuatu kumpulan di dalam masyarakat. Tenaga pengajarnya adalah daripada ahli masyarakat yang pakar dan juga mempunyai institusi rasmi dan tidak rasmi seperti institusi kerajaan dan swasta. Antara contoh pendidikan non formal ialah program latihan untuk petani, latihan kemahiran kerjaya yang diberikan di luar dari sistem pendidikan formal, program pendidikan mengenai kesihatan, pemakanan, pembangunan keluarga, sijil kemahiran tertentu seperti automotif, kelas menjahit, kelas memasak dan sebagainya. Di sekolah juga berlaku pendidikan nonformal seperti kegiatan kokurikulum di sekolah (aktiviti sukan, persatuan dan kegiatan beruniform), kursus-kursus pendek untuk menambah pengetahuan tentang sesuatu, lawatan sambil belajar yang terancang dan sebagainya. Jadi pendidikan nonformal ini tidak hanya tertumpu hanya kepada individu yang sudah tamat pendidikan di sekolah tetapi murid di sekolah juga mendapat pendidikan nonformal berdasarkan kurikulum kebangsaan yang turut merangkumi kurikulum tidak formal dan kurikulum tersembunyi bertujuan untuk melengkapkan pembangunan insan yang menyeluruh dan seimbang. Berdasarkan konsep pendidikan non-formal yang dibincangkan, ia memberi peluang kepada semua orang untuk melibatkan diri dalam proses pendidikan seumur hidup yang merangkumi berbagai-bagai aspek kehidupan kerana ianya dijalankan secara fleksibel, dijalankan oleh berbagai-bagai agensi dan institusi serta ditujukan kepada semua golongan masyarakat.

            Kesimpulannya, konsep pendidikan berterusan yang terkadung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan yang sentiasa dahagakan ilmu tidak mengira peringkat umur sehingga ke akhir hayatnya. Ungkapan “tuntutlah ilmu sampai ke liang lahad” merupakan ungkapan yang paling sesuai untuk menterjemah konsep pendidikan berterusan ini. Pada zaman yang serba moden ini, pendidikan sudah menjadi satu keperluan yang mesti diberikan kepada setiap masyarakat untuk mencapai matlamat pendidikan negara dan mencorakkan hala tuju pendidikan masa kini dan masa depan demi melonjakkan sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu pendidikan berterusan ini menjadi hasrat utama di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bertamadun tinggi yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara.


PROSES PENDIDIKAN 


Proses atau perlaksanaan pendidikan menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah mengikut kepada apa yang dinyatakan dalam FPK itu sendiri iaitu pendidikan adalah satu usaha berterusan, pendidikan kea rah mengembangkan lagi potensi, fokus kepada individu, perlaksanaan secara menyeluruh, bersepadu, seimbang dan harmonis yang melibatkan komponen intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuham. Proses pendidikan yang dirangka dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini adalah bertujuan untuk mencapai matlamatnya iaitu untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

            Elemen yang pertama dalam proses pendidikan mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pendidikan adalah satu usaha berterusan. Pendidikan adalah satu proses pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan juga nilai murni. Proses pemerolehan dan pemindahan ini berlaku secara berterusan bermula dari kecil sehingga ke akhir hayat seseorang individu tersebut. Pendidikan bermula daripada rumah oleh ibu kepada kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara satu hingga enam tahun. Kemudian mereka meneruskan pendidikan ke alam persekolahan pada peringkat rendah dan menengah. Di sekolah mereka akan dapat mengembangkan bakat dan potensi, bersosial dan membentuk sahsiah dan jati diri yang akan terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan. Setelah tamat persekolahan, setiap individu masih terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka. Proses pendidikan yang berterusan ini bagi membantu individu menyesuaikan diri dengan pelabagi perubahan dan kehendak semasa sesuai dengan peredaran zaman yang semakin maju dan berkembang pesat. Jadi pendidikan sebagai usaha berterusan ini menjadi tanggungjawab pelbagai pihak seperti ibu bapa, kerajaan, guru-guru, masyarakat dan sebagainya untuk memastikan usaha ini tidak terhenti selepas di peringkat persekolahan demi mencapai matlamat yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

            Seterusnya elemen yang kedua ialah mengembangkan lagi potensi individu dimana setiap individu itu mempunyai bakat yang tersendiri sama ada semulajadi ataupun perlu digilap.  Potensi individu ini boleh dibahagikan pula kepada 4 iaitu unsur iaitu intelek, emosi, rohani dan jasmani. Melalui pendidikan potensi individu boleh diperkembangkan dan digilap. Setiap individu telah diberkati Tuhan dengan bakat, potensi dan kebolehan yang mungkin terpendam. Melalui pendididukan, bakat dan potensi ini perlu sebaik-baiknya dicungkil, dipupuk, dikembangkan dan dipertingkatkan sehingga mencapai tahap yang cemerlang. Bakat, potensi dan kebolehan akan menjelma melalui interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling. Maka pendidikan seharusnya memberikan peluang kepada individu untuk mengembangkan bakat, potensi dan juga kebolehan mereka. Usaha mengembangkan lagi potensi dan bakat individu ini memerlukan peranacangan yang teliti dan perlaksanaan yang bersungguh-sungguh demi mencapai hasil yang dihasratkan. Jika semua pihak bekerjasama memainkan peranan masing-masing dalam usaha murni ini sudah tentu ianya tidak menjadi masalah dan keberhasilan individu itu akan dapat dilihat secara berterusan.

            Perkembangan potensi individu yang terdiri daripada empat unsur tadi iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani itu telah membawa kepada perkembangan pada proses yang seterusnya iaitu perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Bakat, potensi dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan sebaliknya dihubungkait dan disepadukan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama lain. Perkembangan potensi secara menyeluruh merangkumi empat unsur tersebut membolehkan seseorang individu itu mencapai penguasaan ilmu, kemahiran, nilai, budaya dan kepercayaan. Penggabungan empat unsur ini secara bersepadu amatlah diperlukan bagi mewujudkan manusia yang seimbang dalam memenuhi keperluan hidupnya. Oleh sebab itu proses pendidikan dalam mengembangkan potensi individu ini dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu dan bukannya hanya tertumpu kepada satu unsur sahaja. Potensi yang ada pada diri individu hendaklah diperkembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasi bakat dan kebolehannya yang saling berkait di antara satu sama lain.

Perkembangan potensi unsur yang pertama iaitu intelek dapat memastikan seseorang itu boleh berfikiran secara kreatif dan kritis, memanfaatkan ilmu serta menyebarkannya dan juga menguasai kemahiran 4M iaitu menulis, membaca, mengira dan menaakul. Unsur rohani pula adalah berkaitan dengan jiwa iaitu hubungan antara manusia dengan penciptanya. Perkembangan unsur rohani adalah penting bagi melahirkan individu yang berakhlak mulia dan mensyukuri nikmat Tuhan. Unsur yang ketiga iaitu emosi ialah berkaitan dengan jiwa individu yang mana memberi kawalan kepada tingkahlaku dan tindakannya. Perkembangan emosi yang sempurna mampu menjadikan seseorang mempunyai perasaan tenang dan memupuk perasaan kasih sayang dan perpaduan. Unsur yang terakhir pula ialah jasmani iaitu unsur fizikal individu yang berkaitan anggota tubuh badan. Perkembangan potensi jasmani adalah bagi memastikan seseorang dapat menjaga kesihatan tubuh badan, memanfaatkan tenaga fizikal kearah yang bermanfaat untuk kepentingan semua serta mengembangkan lagi bakat dan kemahirannya. Perkembangannya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran demi memberi sumbanga kepada kemajuan negara.

Setiap aspek yang dikembangkan tadi akan melahirkan manusia yang seimbang dan harmonis. Maksud seimbang dan harmonis disini ialah insan yang berilmu pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada tuhan, mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta matang dari segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni ini mempunyai intelek, rohani, emosi dan jasmani yang telah diperkembangkan secara kritikal dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat dalam kehidupan harian atau tingkah laku individu yang bertanggungjawab, menghormati orang lain, mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan tenang dan cepat. Disamping itu, manusia yang sejahtera merupakan manusia yang perkembangan dirinya berlaku secara menyeluruh melibatkan semua potensi diri. Contohnya manusia yang berjaya dalam kerjayanya, bersyukur dengan nikmat yang diberikan Tuhan kepadanya akan tetapi pada masa yang sama sedia berhadapan dengan segala cabaran dan rintangan yang dihadapi, bertingkah laku baik, tidak mementingkan diri sendiri dan sedia membantu orang lain serta prihatin. Berbeza dengan seseorang yang memiliki kejayaan dengan memiliki jawatan yang tinggi dan pendapatan yang lumayan tetapi tidak mempunyai akhlak yang baik, tidak menghormati orang lain serta mementingkan diri sendiri menunjukkan kehidupannya tidak harmonis kerana ketidakseimbangan yang berlaku. Oleh sebab itu FPK menekankan pembangunan insan secara seimbang dan menyeluruh supaya manusia dapat menjalani kehidupannya secara harmoni yang akan memberi kesan yang positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Akhir sekali, perlaksanaan atau proses pendidikan yang dijalankan adalah berpaksikan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Seperti yang kita tahu, semua agama itu mengajak manusia kearah kebaikan dan hidup dengan penuh hikmah. Mengamalkan kepercayaan beragama dan mematuhi segala perintah agama adalah penting dalam membentuk jati diri dan mengawal individu. Kepercayaan ini merupakan keyakinan bahawa manusia dan alam sekitar tidak terjadi secara sendiri tetapi ada Penciptanya, dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan. Manusia harus patuh kepada Tuhan dengan memikul amanah dan bertanggungjawab ke atas amanah yang diberikan Tuhan kepadanya dalam usaha mentadbir dan memakmurkan alam ini. Sekiranya amanah ini tidak dilaksanakan dan diabaikan oleh manusia, ia boleh menyebabkan timbulnya huru hara yang dapat menggugat kesejahteraan kehidupan manusia di alam ini.

Kesimpulannya, proses dan perlaksanaan pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengandungi perkara-perkara yang menjadi panduan sistem pendidikan di negara kita pada hari ini. Kurikulum yang dibentuk adalah berdasarkan proses pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya dapat mencapai matlamat-matlamat yang dihasratkan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan diwujudkan sebagai panduan kepada para pendidik untuk terus produktif dan kreatif dalam melaksanakan aktiviti pendidikan demi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu selari dengan perkembangan zaman yang dapat memberikan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.

 

RUJUKAN  


Zainin Abdullah. 2021. Modul Perkembangan Pendidikan Di Malaysia Falsafah Dasar. Perak. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Noriati Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkifli Mahayudin, Zakiah Noordin. 2014. Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin. 2014. Pengajian Malaysia. Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan Teras Transformasi, diakses  daripada 

https://www.padu.edu.my/articles/falsafah-pendidikan-kebangsaan-teras-transformasi/



No comments:

Post a Comment

First Post

  NAMA DAN KOD KURSUS:  PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA: FALSAFAH DAN DASAR  (KPF 3012) KUMPULAN: KUMPULAN B NAMA PENSYARAH: ENCIK ZAINI...