Saturday, March 20, 2021

Impak peranan guru ke arah mencapai matlamat Pendidikan Malaysia

Nik Nur Salsabila Binti Nik Osthman (D20202096850)


Pendidikan merupakan nadi pembangunan anak bangsa dan negara. Tanpa sistem pendidikan yang komprehensif dan mantap sejajar dengan perkembangan zaman, sesuatu bangsa atau negara boleh dianggap sebagai gagal dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyatnya. Oleh yang demikian, transformasi dalam pendidikan perlu dilaksanakan supaya rakyat Malaysia mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

    Lantas, bagi memperkasakan sistem pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) telah dilancarkan pada 6 September 2013 dengan hasratnya adalah untuk meningkatkan status pendidikan negara di mata dunia supaya selaras dan sejajar dengan perkembangan yang berlaku di negara lain seterusnya menjadi penanda aras di peringkat antarabangsa. Dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara, tidak dapat dinafikan peranan guru adalah paling utama. Guru umpama berlian yang memantulkan kilauan bergemerlapan dan pada ketika sama dirinya begitu bernilai.

Guru perlu mengamalkan kemahiran professional.

Guru yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, cinta akan ilmu, berkemahiran dan berakhlak selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Peranan ini penting bagi membawa pendidikan negara Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia. Kemahiran yang perlu diberi penekanan adalah kemahiran berfikir dan konstruktif  yang mana para pelajar dididik menggunakan minda dan pemikiran aras tinggi bagi melahirkan murid-murid yang mempunyai modal intelektual tinggi sebagai persediaan menghadapi era globalisasi. Ia juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa. Secara tidak langsung ia juga mendesak para guru menguasai pelbagai kemahiran generik seperti kemahiran berfikir dan mengintegrasikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pegajaran dan pembelajaran serta kemahiran menguasai bahasa kedua dengan baik. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran sentiasa menganjurkan pelbagai kursus jangka panjang dan pendek untuk guru agar para pendidik dapat mengaplikasikan kemahiran-kemahiran ini dalam proses PdP.

Guru sebagai pendorong pemikiran kritis dan kreatif.

Guru dianggap sebagai seorang pengusaha yang mana perlunya mempunyai ciri-ciri pengusaha yang dinamik dengan mempersiapkan diri dengan kemahiran dan berupaya berfikir secara inovatif dan kreatif. Ini kerana, usaha tersebut akan mendorong kepada modal insan yang berdaya membangunkan negara menerusi pemikiran mereka. Peranan guru tersebut akan memperkasakan lagi gaya pemikiran anak muridnya supaya dapat menjana idea-idea baru yang bernas dan kreatif dan melahirkan murid yang kompeten dalam pelbagai bidang serta berkebolehan. Guru bertanggungjawab meransang pemikiran murid dengan pemilihan teknik yang memberi ruang kepada murid untuk meneliti, mengamati dan berfikir serta pembelajaran di luar bilik darjah yang meluaskan lagi pengalaman dan pengamatan pelajar terhadap persekitaran. Selain itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersumberkan kepada mengajak murid-murid berfikir dan menyelesaikan masalah di samping membaca pelbagai bahan.

Guru berperanan menggilap potensi murid-murid.

Setiap manusia diberi kelebihan dan kekurangan masing-masing yang berbeza-beza. Sebagai seorang guru keistimewaan yang dicari dan digilap bukan kelemahan seseorang murid yang dicari agar menjadi manusia yang berguna bukan sahaja untuk diri sendiri malahan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, guru hendaklah bijak memainkan peranan tersebut agar kebolehan murid-muridnya tidak disia-siakan begitu sahaja. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memastikan kurikulum sekolah mampu memanfaatkan potensi sedia ada di dalam diri murid dengan memberi penekanan kepada pendidikan berasaskan nilai murni sperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam dan nilai merentas kurikulum. Guru yang mengendalikan mata pelajaran tersebut akan berperanan dalam mengenal pasti bakat murid dan seterusnya menggilap potensi mereka.

Guru bertindak sebagai pembentukan nilai atau role model.

Nilai menjadi kayu ukur mutu sesuatu perkara. Nilai yang perlu diterapkan ialah moral, agama, terminal dan instrumental. Maka, guru hendaklah mempunyai sifat dan kualiti professional, peribadi dan sosial yang baik lagi murni supaya dapat menjalankan tugas sebagi pendidik dengan sempurna. Menurut Ee Ah Meng (2003) guru yang beriltizam akan menjadi role model kepada murid-murid. Ini mendorong kepada perkembangan beberapa ciri peribadi yang positif melalui amalan-amalan di dalam bilik darjah.

Guru berperanan sebagai pembimbing.

Guru bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan maklumat dan kemahiran mata pelajaran kepada murid malah perlu memastikan muridnya mempunyai kemahiran menagani masalah yang dihadapi di dalam kehidupannya. Peranan guru sebagai pembimbing dan kaunselor sangat penting dalam memastikan pembangunan manusia yang berilmu dan boleh berfikir untuk membawa perubahan kehidupan manusia ke arah yang lebih selesa dan sempurna. Guru yang bertindak sebagai pembimbing akan membantu muridnya seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi dan bersedia dengan kemahiran bimbangan dan kaunseling untuk membimbing pelajar dalam proses pembinaan modal insan yang menepati acuan seperti mana yang termaktub pada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Natijahnya, dengan usaha yang bersungguh-sungguh menerusi transformasi bersepadu sudah pasti sistem pendidikan negara mampu mendepani cabaran yang sentiasa berubah pada abad kini. Sesungguhnya, keghairahan dalam meningkatkan kualiti pendidikan seharusnya menjadi slogan dan iltizam buat warga pendidik kerana pada bahu mereka adanya anak-anak murid yang mempunyai berbagai-bagai tahap kebolehan dan keupayaan dalam dunia persaingan di peringkat global. Harapannya, hasrat murni matlamat pendidikan dapat direalisasikan sebagai sistem pendidikan yang gemilang di dunia.

RUJUKAN:

Yuvarani Subramaniam. (2013). Cara guru dapat memainkan peranan menjayakan hasrat FPK dan FPG dalam melaksanakan KSSR untuk membangunkan modal insan. https://www.slideshare.net/yuvaranisubramaniam/penulisan-akademik

Mary Yap Kain Ching. (2015). Guru berperanan lahir pelajar capai standard global. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2015/08/74472/guru-berperanan-lahir-pelajar-capai-standard-global 

No comments:

Post a Comment

First Post

  NAMA DAN KOD KURSUS:  PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA: FALSAFAH DAN DASAR  (KPF 3012) KUMPULAN: KUMPULAN B NAMA PENSYARAH: ENCIK ZAINI...