FALSAFAH PENDIDIKAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN
"Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan
untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara."
Konsep pendidikan berterusan atau dikenali sebagai pendidikan
sepanjang hayat menekankan kepada proses pembelajaran secara berterusan yang
mana seseorang itu mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui
pengintergrasian tiga komponen pendidikan iaitu pendidikan formal,pendidikan informal
dan pendidikan non-formal yang mana proses ini boleh berulang di sepanjang hayatnya
bermula sejak dalam kandungan hingga ke akhir hayatnya. Pendidikan sepanjang
hayat atau lifelong learning ialah satu konsep yang ditekankan dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan berterusan ialah pembangunan potensi
manusia melalui proses pembelajaran berterusan yang memotivasikan dan
mengupayakan individu menguasai ilmu, menghayati nilai murni, budaya dan
kepercayaan yang diperlukan sepanjang hayat untuk meluaskan pengalaman hidupnya.
Pendidikan berterusan ini ialah asas penting dalam membina masyarakat dan
negara yang bertamadun tinggi dan maju. Pendidikan berterusan ini mempunyai
tiga peringkat yang akan dilalui oleh setiap individu iaitu peringkat awal,
peringkat sekolah dan peringkat selepas sekolah.
Pada peringkat
yang pertama iaitu peringkat awal, ia adalah dimana seseorang itu masih
dilingkungan umur satu hingga lima tahun. Mereka menerima pendidikan secara informal
yang banyak memberi penekanan kepada aspek-aspek seperti pertuturan, bimbingan
agama, adab tatasusila, penjagaan kesihatan dan kebersihan serta perhubungan
fizikal. Kebiasaannya pendidikan informal ini diperoleh daripada ibu bapa, ahli
keluarga dan pengasuh yang menjaganya. Bermula daripada seseorang kanak-kanak
itu lahir, mereka diajar untu makan, minum, bertutur,mengenali anggota
keluarga, mengenali anggota badan dan sebagainya sehingga mereka boleh
menguruskan diri. Menjadi pernanan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain untuk
memberikan pendidikan seperti adad-adab yang merangkumi adab bertutur, adab
makan, adab dengan orang yang lebih tua, membersihkan diri serta tingkah laku
yang boleh dilakukan dan tingkah laku yang tidak boleh dan sebagainya. Apabila
umur kanak-kanak tersebut sudah mendekati umur yang akan melayakkan mereka
mendapatkan pendidikan formal di sekolah, ibu bapa serta ahli keluarga
kebiasaannya akan mengajar mereka untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan
orang lain dengan adab-adab yang telah dipraktikkan dirumah selama ini.
Kanak-kanak belajar semua perkara ini daripada semasa ke semasa dan membina
kemahiran dalam kehidupannya dalam jangka masa yang berterusan. Pendidikan
informal ini tidak ada guru khas yang mengajar mereka sebaliknya bergantung
kepada ahli keluarga dan ibu bapa kanak-kanak tersebut dan ianya juga berlaku
di rumah serta dalam keadaan sekeliling yang tidak mempunyai institusi rasmi.
Seterusnya,
apabila kanak-kanak tersebut sudah mencapai umur lima hingga enam tahun mereka
sudah layak untuk mendapatkan pendidikan di tadika atau prasekolah sehingga ke
peringkat lebih tinggi apabila usia mereka meningkat. Pendidikan ini dinamakan
pendidikan formal yang melibatkan empat peringkat persekolahan iaitu
prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi. Pendidikan
formal boleh ditakrifkan sebagai proses pengajaran dan pembelajaran yang
dilaksanakan secara rasmi mengikut sistem yang ditetapkan oleh kerajaan. Proses
ini berlaku di dalam sesuatu Institusi yang mempunyai struktur dari segi
kronologi dan hierarki yang bermula daripada prasekolah hingga ke peringkat
pendidikan tinggi serta mempunyai kurikulum rasmi. Seseorang kanak-kanak itu
akan memulakan pendidikan awalnya di prasekolah dan sekolah rendah yang dinamakan
pendidikan rendah bermula daripada umur enam tahun hingga dua belas tahun.
Kemudian mereka akan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah selama lima
tahun bermula daripada umur tiga belas tahun hingga tujuh belas tahun. Pada
peringkat persekolahan, setiap individu itu akan diberikan pengajaran yang
berterusan dan penekanannya adalah terhadap aspek pembentukan jati diri,
perkembangan nilai dan potensi, perkembangan sosial, penghayatan agama dan
nilai murni, penyesuaian hidup, pemupukan perpaduan dan nasionalisme, perolehan
ilmu pengetahuan dan kemahiran serta pemilihan kerjaya. Kemudian setelah tamat
pengajian di pendidikan menengah, individu yang ingin melanjutkan pengajian ke
pendidikan tinggi akan terus mendapat pendidikan formal. Proses pembelajaran di
peringkat pendidikan tinggi adalah lebih kepada pengkhususan bidang
masing-masing yang tertumpu kearah profesion dan kerjaya yang berlainan. Bagi
individu yang tidak melanjutkan pelajaran ke pendidikan tinggi, proses
pendidikan tetap berterusan dan terus berlaku semasa di tempat kerja ataupun di
dalam komuniti. Pendidikan kendiri juga berlaku dari semasa ke semasa melalui
kehidupan seharian seseorang dan turut dipengaruhi media massa ataupun
internet. Pada peringkat lepas sekolah ini pendidikan lebih tertumpu kepada
penyesuaian kehidupan, perkembangan potensi, penghayatan agama dan nilai murni
serta peningkatan perolehan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran.
Pendidikan
nonformal pula ialah pendidikan yang disusun dan dilaksanakan di luar daripada sistem
pendidikan formal. Pendidikan ini boleh diperoleh melalui program seperti
latihan, kursus dalam perkhidmatan, seminar, bengkel, persidangan, forum dan
sebagainya. Pendidikan non-formal ialah semua jenis aktiviti pendidikan yang
tersusun secara sistematik yang dijalankan di luar sistem pendidikan formal
yang bertujuan memberi pembelajaran yang terpilih untuk sesuatu kumpulan di
dalam masyarakat. Tenaga pengajarnya adalah daripada ahli masyarakat yang pakar
dan juga mempunyai institusi rasmi dan tidak rasmi seperti institusi kerajaan
dan swasta. Antara contoh pendidikan non formal ialah program latihan untuk
petani, latihan kemahiran kerjaya yang diberikan di luar dari sistem pendidikan
formal, program pendidikan mengenai kesihatan, pemakanan, pembangunan keluarga,
sijil kemahiran tertentu seperti automotif, kelas menjahit, kelas memasak dan
sebagainya. Di sekolah juga berlaku pendidikan nonformal seperti kegiatan
kokurikulum di sekolah (aktiviti sukan, persatuan dan kegiatan beruniform), kursus-kursus
pendek untuk menambah pengetahuan tentang sesuatu, lawatan sambil belajar yang
terancang dan sebagainya. Jadi pendidikan nonformal ini tidak hanya tertumpu
hanya kepada individu yang sudah tamat pendidikan di sekolah tetapi murid di sekolah
juga mendapat pendidikan nonformal berdasarkan kurikulum kebangsaan yang turut
merangkumi kurikulum tidak formal dan kurikulum tersembunyi bertujuan untuk
melengkapkan pembangunan insan yang menyeluruh dan seimbang. Berdasarkan konsep
pendidikan non-formal yang dibincangkan, ia memberi peluang kepada semua orang
untuk melibatkan diri dalam proses pendidikan seumur hidup yang merangkumi
berbagai-bagai aspek kehidupan kerana ianya dijalankan secara fleksibel, dijalankan
oleh berbagai-bagai agensi dan institusi serta ditujukan kepada semua golongan
masyarakat.
Kesimpulannya, konsep pendidikan berterusan yang terkadung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan yang sentiasa dahagakan ilmu tidak mengira peringkat umur sehingga ke akhir hayatnya. Ungkapan “tuntutlah ilmu sampai ke liang lahad” merupakan ungkapan yang paling sesuai untuk menterjemah konsep pendidikan berterusan ini. Pada zaman yang serba moden ini, pendidikan sudah menjadi satu keperluan yang mesti diberikan kepada setiap masyarakat untuk mencapai matlamat pendidikan negara dan mencorakkan hala tuju pendidikan masa kini dan masa depan demi melonjakkan sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu pendidikan berterusan ini menjadi hasrat utama di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan bertamadun tinggi yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara.
Proses atau perlaksanaan pendidikan menurut Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) adalah mengikut kepada apa yang dinyatakan dalam FPK itu
sendiri iaitu pendidikan adalah satu usaha berterusan, pendidikan kea rah
mengembangkan lagi potensi, fokus kepada individu, perlaksanaan secara
menyeluruh, bersepadu, seimbang dan harmonis yang melibatkan komponen intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuham.
Proses pendidikan yang dirangka dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini adalah
bertujuan untuk mencapai matlamatnya iaitu untuk melahirkan masyarakat yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Elemen yang
pertama dalam proses pendidikan mengikut Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah
pendidikan adalah satu usaha berterusan. Pendidikan adalah satu proses
pemerolehan dan pemindahan ilmu, kemahiran dan juga nilai murni. Proses
pemerolehan dan pemindahan ini berlaku secara berterusan bermula dari kecil
sehingga ke akhir hayat seseorang individu tersebut. Pendidikan bermula
daripada rumah oleh ibu kepada kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur antara
satu hingga enam tahun. Kemudian mereka meneruskan pendidikan ke alam persekolahan
pada peringkat rendah dan menengah. Di sekolah mereka akan dapat mengembangkan
bakat dan potensi, bersosial dan membentuk sahsiah dan jati diri yang akan
terus berkembang sepanjang tempoh persekolahan. Setelah tamat persekolahan,
setiap individu masih terus meningkatkan ilmu, kemahiran dan akhlak mereka.
Proses pendidikan yang berterusan ini bagi membantu individu menyesuaikan diri
dengan pelabagi perubahan dan kehendak semasa sesuai dengan peredaran zaman
yang semakin maju dan berkembang pesat. Jadi pendidikan sebagai usaha
berterusan ini menjadi tanggungjawab pelbagai pihak seperti ibu bapa, kerajaan,
guru-guru, masyarakat dan sebagainya untuk memastikan usaha ini tidak terhenti selepas
di peringkat persekolahan demi mencapai matlamat yang digariskan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.
Seterusnya elemen
yang kedua ialah mengembangkan lagi potensi individu dimana setiap individu itu
mempunyai bakat yang tersendiri sama ada semulajadi ataupun perlu digilap. Potensi
individu ini boleh dibahagikan pula kepada 4 iaitu unsur iaitu intelek, emosi,
rohani dan jasmani. Melalui pendidikan potensi individu boleh diperkembangkan
dan digilap. Setiap individu telah diberkati Tuhan dengan bakat, potensi dan kebolehan
yang mungkin terpendam. Melalui pendididukan, bakat dan potensi ini perlu
sebaik-baiknya dicungkil, dipupuk, dikembangkan dan dipertingkatkan sehingga
mencapai tahap yang cemerlang. Bakat, potensi dan kebolehan akan menjelma melalui
interaksi sosial dengan orang lain dan alam sekeliling. Maka pendidikan
seharusnya memberikan peluang kepada individu untuk mengembangkan bakat,
potensi dan juga kebolehan mereka. Usaha mengembangkan lagi potensi dan bakat
individu ini memerlukan peranacangan yang teliti dan perlaksanaan yang
bersungguh-sungguh demi mencapai hasil yang dihasratkan. Jika semua pihak
bekerjasama memainkan peranan masing-masing dalam usaha murni ini sudah tentu
ianya tidak menjadi masalah dan keberhasilan individu itu akan dapat dilihat
secara berterusan.
Perkembangan
potensi individu yang terdiri daripada empat unsur tadi iaitu intelek, rohani,
emosi dan jasmani itu telah membawa kepada perkembangan pada proses yang
seterusnya iaitu perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Bakat, potensi
dan kebolehan tidak boleh dikembangkan secara berasingan sebaliknya
dihubungkait dan disepadukan bagi mengelakkan pertentangan antara satu sama
lain. Perkembangan potensi secara menyeluruh merangkumi empat unsur tersebut
membolehkan seseorang individu itu mencapai penguasaan ilmu, kemahiran, nilai,
budaya dan kepercayaan. Penggabungan empat unsur ini secara bersepadu amatlah
diperlukan bagi mewujudkan manusia yang seimbang dalam memenuhi keperluan
hidupnya. Oleh sebab itu proses pendidikan dalam mengembangkan potensi individu
ini dilakukan secara menyeluruh dan bersepadu dan bukannya hanya tertumpu
kepada satu unsur sahaja. Potensi yang ada pada diri individu hendaklah
diperkembangkan ke peringkat optimum dengan cara mengintegrasi bakat dan
kebolehannya yang saling berkait di antara satu sama lain.
Perkembangan potensi unsur yang pertama iaitu intelek dapat
memastikan seseorang itu boleh berfikiran secara kreatif dan kritis,
memanfaatkan ilmu serta menyebarkannya dan juga menguasai kemahiran 4M iaitu
menulis, membaca, mengira dan menaakul. Unsur rohani pula adalah berkaitan
dengan jiwa iaitu hubungan antara manusia dengan penciptanya. Perkembangan unsur
rohani adalah penting bagi melahirkan individu yang berakhlak mulia dan
mensyukuri nikmat Tuhan. Unsur yang ketiga iaitu emosi ialah berkaitan dengan
jiwa individu yang mana memberi kawalan kepada tingkahlaku dan tindakannya.
Perkembangan emosi yang sempurna mampu menjadikan seseorang mempunyai perasaan
tenang dan memupuk perasaan kasih sayang dan perpaduan. Unsur yang terakhir
pula ialah jasmani iaitu unsur fizikal individu yang berkaitan anggota tubuh
badan. Perkembangan potensi jasmani adalah bagi memastikan seseorang dapat
menjaga kesihatan tubuh badan, memanfaatkan tenaga fizikal kearah yang
bermanfaat untuk kepentingan semua serta mengembangkan lagi bakat dan
kemahirannya. Perkembangannya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran demi
memberi sumbanga kepada kemajuan negara.
Setiap aspek yang dikembangkan tadi akan melahirkan manusia yang
seimbang dan harmonis. Maksud seimbang dan harmonis disini ialah insan yang
berilmu pengetahuan, mempunyai akhlak mulia, percaya dan yakin kepada tuhan,
mempunyai jiwa dan fikiran yang tenteram, sihat tubuh badan, serta matang dari
segi emosi dan sosialnya. Insan yang seimbang dan harmoni ini mempunyai
intelek, rohani, emosi dan jasmani yang telah diperkembangkan secara kritikal
dan bersepadu. Hal ini dapat dilihat dalam kehidupan harian atau tingkah laku
individu yang bertanggungjawab, menghormati orang lain, mempunyai kesedaran
kendiri yang tinggi dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan tenang
dan cepat. Disamping itu, manusia yang sejahtera merupakan manusia yang
perkembangan dirinya berlaku secara menyeluruh melibatkan semua potensi diri. Contohnya
manusia yang berjaya dalam kerjayanya, bersyukur dengan nikmat yang diberikan
Tuhan kepadanya akan tetapi pada masa yang sama sedia berhadapan dengan segala
cabaran dan rintangan yang dihadapi, bertingkah laku baik, tidak mementingkan
diri sendiri dan sedia membantu orang lain serta prihatin. Berbeza dengan
seseorang yang memiliki kejayaan dengan memiliki jawatan yang tinggi dan
pendapatan yang lumayan tetapi tidak mempunyai akhlak yang baik, tidak
menghormati orang lain serta mementingkan diri sendiri menunjukkan kehidupannya
tidak harmonis kerana ketidakseimbangan yang berlaku. Oleh sebab itu FPK
menekankan pembangunan insan secara seimbang dan menyeluruh supaya manusia
dapat menjalani kehidupannya secara harmoni yang akan memberi kesan yang
positif kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Akhir sekali, perlaksanaan atau proses pendidikan yang dijalankan
adalah berpaksikan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Seperti yang
kita tahu, semua agama itu mengajak manusia kearah kebaikan dan hidup dengan
penuh hikmah. Mengamalkan kepercayaan beragama dan mematuhi segala perintah
agama adalah penting dalam membentuk jati diri dan mengawal individu. Kepercayaan
ini merupakan keyakinan bahawa manusia dan alam sekitar tidak terjadi secara
sendiri tetapi ada Penciptanya, dan hukum-hukum alam adalah hukum-hukum Tuhan.
Manusia harus patuh kepada Tuhan dengan memikul amanah dan bertanggungjawab ke
atas amanah yang diberikan Tuhan kepadanya dalam usaha mentadbir dan
memakmurkan alam ini. Sekiranya amanah ini tidak dilaksanakan dan diabaikan
oleh manusia, ia boleh menyebabkan timbulnya huru hara yang dapat menggugat
kesejahteraan kehidupan manusia di alam ini.
Kesimpulannya, proses dan perlaksanaan pendidikan yang dinyatakan
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengandungi perkara-perkara yang menjadi
panduan sistem pendidikan di negara kita pada hari ini. Kurikulum yang dibentuk
adalah berdasarkan proses pendidikan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan supaya dapat mencapai matlamat-matlamat yang dihasratkan. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan diwujudkan sebagai panduan kepada para pendidik untuk
terus produktif dan kreatif dalam melaksanakan aktiviti pendidikan demi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu selari dengan perkembangan zaman yang
dapat memberikan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
RUJUKAN
Zainin Abdullah. 2021. Modul Perkembangan Pendidikan Di Malaysia Falsafah Dasar. Perak. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Noriati Rashid,
Lee Keok Cheong, Zulkifli Mahayudin, Zakiah Noordin. 2014. Falsafah dan
Pendidikan di Malaysia. Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Mardiana Nordin, Hasnah Hussiin. 2014. Pengajian Malaysia.
Selangor. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan Teras Transformasi, diakses daripada
https://www.padu.edu.my/articles/falsafah-pendidikan-kebangsaan-teras-transformasi/